19 Jun 2021

Sinopsis Telefilem Kontra Lakonan Tiz Zaqyah (Slot Panggung RTM TV1)



Info dan Sinopsis Telefilem Kontra Lakonan Tiz Zaqyah dan Jalil Hamid - Slot Panggung RTM TV1

Telefilem Kontra akan diulang siar pada 19 Jun ini, jam 9.30 malam di slot Panggung RTM Tv1. Antara pelakon telefilem Kontra ini adalah Jalil Hamid, Tiz Zaqyah, Harun Hashim, Azza Elite dan ramai lagi. Telemovie Kontra ini mengisahkan tentang pasang surut hubungan kekeluargaan antara ayah dan anak perempuannya iaitu Pak Hamid dan Farhana. Nampak macam menarik kan telefilem ini, jadi jom tengok sinopsis telemovie Kontra ini di bawah ye..

Sinopsis Penuh Telefilem Kontra Lakonan Tiz Zaqyah dan Jalil Hamid - Slot Panggung RTM TV1

Mengisahkan Pak Hamid yang selalu berkongsi aktiviti harian anaknya, Farhana atau Nana pada Adlan, sahabat baik Pak Hamid. Atas nasihat Adlan, Pak Hamid telah membuka akaun media sosial agar Farhana turut mengetahui aktiviti bapanya. Namun, semuanya berubah bila Farhana tidak lagi mengemaskini aktivitinya di media sosial. Pak Hamid mula bimbangkan anaknya itu. Farhana Bekerja sebagai Pegawai Pemasaran di sebuah butik eksklusif, namun mengalami masalah dan berasa tertekan dengan kerjanya itu. Namun apa yang digambarkan di laman sosial peribadinya pula berbeza, Farhana kononnya gembira dengan kehidupan dan kerjayanya. Ditambah pula tekanan orang atasan,menambahkan lagi tekanan dan kekusutan yang dilalui oleh Farhana. Ayah Farhana, Pak Hamid merupakan seorang pengusaha dan penenun songket yang mahir di kampung kelahirannya, Terengganu. Pak Hamid dikenali ramai kerana kemahiran dalam menghasilkan tenunan songket yang cantik, kreatif dan teliti. Itu adalah kemahiran turun temurun keluarganya. 




Pak Hamid terlalu menyayangi anaknya Farhana. Walaupun anaknya jarang sekali bertanya khabar, Pak Hamid sentiasa mengikuti perkembangan anaknya di media sosial. 
Dia sedar anaknya hanya menonjolkan kehidupan palsunya di media sosial. Risau akan keadaan anak gadisnya seorang diri di ibu kota, secara diam-diam dia ke tempat kerja Farhana dan menyamar sebagai pelanggan. Benar telahan naluri seorang ayah, Farhana sedang ‘kusut’ dengan tugasannya. Pada hematnya, Nana begitu tertekan sehingga berubah tidak seperti Nana yang dikenalinya. Apabila menyedari akan kemunculan ayahnya, Farhana sangat terkejut dan berasa tidak selesa. Padanya, kehadiran ayahnya akan mengganggu tugasannya di butik itu. Pun begitu, Pak Hamid sangat disenangi oleh Puan Maria dan rakan-rakan sekerja Nana. Malahan Puan Maria berhasrat untuk bertemu dan berbincang bertukar pendapat serta hala tuju bersama Pak Hamid yang berpengalaman dalam penghasilan songket asli Terengganu. Apa yang berlaku seterusnya? 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan



My Random Post